PM Terima Kunjungan Hormat Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat daripada tiga Duta Besar dan dua Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam perjumpaan kira-kira 45 minit itu, Najib bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Selwyn Vijayarajan Das; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari; Duta Besar Malaysia ke Finland, Datin Seri Blanche Olbery; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Zainal Abidin Ahmad.Pada 24 Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada tiga Duta Besar dan dua Pesuruhjaya Tinggi Malaysia itu di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Das, merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala di Kementerian Luar dan berkhidmat dengan kerajaan sejak 1979, dan pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada dari 2009 hingga 2010 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya (2005 hingga 2009).

Ku Jaafar pula pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar (dari 2004 hingga 2007) dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam (2007 hingga 2010), selain pernah berkhidmat di beberapa perwakilan negara di Kanada, Laos, Croatia dan Jordan.

Blanche, yang merupakan isteri Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas, pertama kali dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi pada 15 Jun 2009 sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Papua New Guinea, Republik Vanuatu dan Kepulauan Solomon.

Husni Zai pula pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Thailand (2008 hingga 2010) dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait (dari 2003 hingga 2005), serta pernah berkhidmat di beberapa perwakilan Malaysia termasuk di Filipina, Pakistan dan United Kingdom.

Zainal Abidin pula pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia di Laos dari 2007 hingga 2010, sebelum kembali memegang jawatan Ketua Pengarah, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar.