Keterbukaan UMNO Yang Tiada Pada Mana-mana Parti Politik Lain


Pemilihan UMNO tahun ini yang menggunapakai Perlembagaan parti yang baru dengan pelaksanaannya telah pun berlangsung sejak pertengahan tahun melalui taklimat di semua peringkat negeri dan kemudiannya mesyuarat cawangan UMNO yang akan berakhir 15 September depan.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman menganggap pemilihan parti dengan pengaplikasian Perlembagaan baru ini adalah satu transformasi yang akan memberi ruang baru kepada ahli-ahlinya berbanding sebelum ini.
“Hasrat pucuk pimpinan parti untuk memberi peluang kepada hampir keseluruhan anggotanya di akar umbi disambut baik dan sehingga ke hari ini, ia berlangsung lancar tanpa ada kerumitan dan sekiranya ada pun ia adalah hal-hal kecil yang boleh diselesaikan dalam ruang perbincangan tanpa membawa mudarat,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, apabila UMNO membawa pembaharuan maka ia secara tidak langsung memberi laluan kepada anggota parti di semua peringkat akar umbi untuk terlibat secara langsung dalam menentukan pemimpin parti yang bermula dari cawangan hinggalah kepada pimpinan tertinggi.


“UMNO menunjukkan ketelusan dan realiti sebenar dalam demokrasi apabila semua jawatan dalam parti boleh ditandingi termasuklah ke peringkat pimpinan atasan sekalipun sedangkan dalam parti-parti politik lain di negara ini tidak demikian malah ada diantaranya yang melantik dirinya sendiri pula.

“Kesungguhan UMNO untuk memastikan kemantapan parti direalitikan dan pemimpin atasan sendiri yang bersedia untuk melihat pembaharuan dengan membawa anggota parti di semua peringkat terlibat sama sedangkan dalam tahun-tahun sebelumnya ia hanya bergantung kepada sebilangan anggota perwakilan sahaja.”

Tegas beliau lagi, parti-parti pembangkang sendiri tidak melaksanakan pemilihan sebagaimana UMNO malah ada di antaranya hanya melibatkan anggota tertentu sahaja untuk memilih pemimpin dalam parti.

“Belum ada mana-mana parti politik pun di negara kita yang berani berdepan dengan risiko sedemikian malahan dengan anggota perwakilan yang terhad pun sudah ada insiden pergaduhan dan tentunya ia akan dielakkan dalam UMNO sebagaimana keutamaan kepada perpaduan parti.

“Dengan kematangan UMNO dan anggota di peringkat cawangan maka tentunya setiap yang dirancang akan berlangsung, biarpun tentunya akan ada juga yang rumit atau kekeliruan tetapi dengan semangat untuk memperteguh parti maka saya percaya bahawa akhirnya UMNO akan bertambah kukuh.”


Tambahnya, pembaharuan pemilihan UMNO ini adalah bukti jelas bahawa pemimpin UMNO tidak gentar dan terbuka untuk dicabar dan dinilai oleh anggotanya berlandaskan kepada kerja dan amanah yang telah dilaksanakan.

“UMNO telah terbukti kuat dan terus relevan dan hal ini terbukti berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu dan pemilihan ini juga tentunya akan kembali menarik semua golongan untuk terlibat sama termasuklah pengundi muda dan profesional.”

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 telah meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan UMNO dengan menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.