30% Cawangan Telah Bermesyuarat

Kira-kira 30 peratus daripada lebih 20,000 cawangan Umno seluruh negara telah selesai bermesyuarat, kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh hari ini.


Sehingga ini semua mesyuarat cawangan berjalan lancar, katanya pada siding akhbar di Masjid Tanah di sini, semasa mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.

Antara yang hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Idris Harun serta lebih 1,000 anggota masyarakat setempat.

Semalam, Setiausaha Agong UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pengurusan Umno bersetuju melanjutkan tarikh akhir mesyuarat cawangan UMNO daripada 31 Ogos kepada 15 September depan.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah seperti disebut-sebut, Ab Rauf berkata beliau masih belum bersedia untuk mengulas berkenaan perkara itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi Datuk Ismail Othman dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik adalah antara yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Ab Rauf berkata mesyuarat peringkat bahagian dan cawangan parti itu tidak akan terjejas dengan ibadah haji akan datang.

“Mereka yang nak pergi haji punya jangka masa cukup untuk hadir mesyuarat peringkat cawangan atau bahagian.

“Sekarang pun sudah 30 peratus cawangan buat mesyuarat dan cawangan punyai banyak masa untuk buat mesyuarat sehingga tarikh akhir 15 September.

“Bahagian juga punya masa lama untuk bermesyuarat sehingga lepas Hari Raya Haji iaitu 19 Oktober,” katanya. Hari Raya Haji jatuh pada 15 Okt.

Beliau berkata mana-mana anggota Umno yang mahu dan layak bertanding dalam pemilihan parti itu tetapi mahu mengerjakan haji boleh melantik wakilnya pada pemilihan itu dengan mengemukakan surat wakil kepada UMNO pusat.